Pemuda Umno Pokok Sena

Home
: Informasi
: Organisasi
: Komuti (Biro)
: Aktiviti
: Komunikasi
: Berita Terkini
: Galeri

: Berita Terkini

logo_bola.gif

PEMUDA BN KEDAH GOTONG ROYONG BAIKI RUMAH RAKYAT TERMISKIN

 
ALOR STAR -- Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah akan melaksanakan program gotong royong secara besar-besaran bagi memperbaiki rumah rakyat termiskin di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
 
Setiausaha Pemuda BN Kedah Haris Che Mat berkata, sejumlah 180 buah rumah rakyat termiskin akan dibaiki dalam program gotong royong yang dijalankan serentak di setiap kawasan DUN selama dua hari bermula pada 27 Julai nanti.
 
"Anggota Pemuda BN Kedah akan diminta mengenalpasti lima buah rumah bagi setiap kawasan DUN untuk diperbaiki dengan peruntukkan RM5,000 bagi setiap buah rumah," katanya kepada pemberita.
 
Beliau berkata, jumlah keseluruhan program gotong royong itu mencecah hampir RM1 juta dan peruntukkan untuk kos memperbaiki rumah-rumah tersebut  daripada Pejabat Menteri Besar Kedah.
 
Haris berkata, program gotong royong ini adalah program kemasyarakatan dan salah satu pendekatan BN Kedah untuk mendekati serta membantu rakyat termiskin di negeri ini.

Beliau berkata, sempena majlis gotong royong itu satu majlis kenduri kampung bersama pemimpin BN Kedah bagi peringkat kawasan parlimen akan turut dijalankan serentak.
 
Di samping itu, katanya, selain gotong royong itu setiap kawasan Parlimen akan turut mengadakan majlis penyerahan bantuan kepada ibu tunggal dan pelajar miskin cemerlang dalam pelajaran.
 
Keseluruhannya terdapat 36 kawasan DUN di negeri ini. -- BERNAMA

Pemuda Umno Pokok Sena Tubuh Tabung Penyakit Kronik

ALOR STAR : Pergerakan Pemuda Umno bahagian Pokok Sena kini mewujudkan sebuah tabungan bagi membela dan memberi perhatian kepada kanak-kanak kurang berupaya dan pesakit-pesakit kronik di kawasan parlimennya.

Ketuanya Haris Che Mat berkata tabung itu akan beroperasi sepanjang masa dan bantuan akan disalurkan kepada mereka yang kurang bernasib baik itu berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.

"Kita tidak mahu tabungan seperti itu ditubuhkan bila ada keperluan sahaja ataupun bila terdapat pesakit yang tiba-tiba memerlukan," katanya kepada pemberita selepas melawat salah seorang kanak-kanak pesakit kronik di Jabi, Pokok Sena dekat sini hari ini.

Katanya, selain itu pihaknya akan turut membantu menyediakan peralatan dan perubatan yang diperlukan oleh pesakit-pesakit tadi berdasarkan kemampuan seperti peralatan kerusi roda dan sebagainya.

Beliau berkata, Pemuda Umno Pokok Sena akan mencari jalan bagi membantu mereka yang kurang upaya itu mendapat kebajikan sewajarnya daripada agensi kerajaan yang berkaitan.

"Ada segelintir mereka yang menderita itu tidak mendapat pembelaan dan perhatian sewajar daripada agensi-agensi kerajaan berkenaan kerana maklumat mengenainya tidak sampai ke pihak mereka," katanya lagi.

Justeru itu, Haris berkata, selain bancian yang dibuat sendiri pihaknya akan berkerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mendapat jumlah bilangan mereka yang kurang bernasib baik itu.

Bagi mereka yang prihatin dan berminat untuk menyumbang dalam tabungan itu boleh menghubungi Haris Che Mat di talian 0194134889.

- petikan dari akhbar rasmi Kerajaan Negeri Kedah "Kedah Gemilang"

RM5,000 untuk juara Piala Ketua Pemuda

POKOK SENA: Berita mengembirakan buat peminat bolasepak di Kedah. Ini kerana hadiah wang tunai lebih RM10,000 menanti semua pasukan yang menyertai kerjohanan liga bolasepak bagi merebut piala Ketua pemuda UMNO bahagian Pokok Sena pada 3Mac depan.

- petikan dari akhbar Kosmo!

Pemuda Pokok Sena Bantu DUN Batu Talam Dengan Sukan

BATU TALAM : Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah melalui Biro Belia, Sukan dan Latihan telah mengadakan program bolasepak jalanan atau dikenali sebagai "street soccer" di padang sekolah kebangsaan Felda Tersang 3 di DUN Batu  Talam pada 27hb Januari 2007 bagi merebut Piala Menteri Besar  Kedah.
 
Sebanyak 26 pasukan telah menyertai pertandingan tersebut yang mana pertandingan seperti ini tidak pernah diadakan di kawasan ini sebelum ini. Turut bersama-sama di dalam menjayaklan program ini adalah Kementerian Belia dan Sukan di bawah kelolaan Saudara Jasni Bin Syafie selaku Timbalan Pengerusi Belia dan Sukan Pemuda UMNO Negeri Kedah. Kementerian mengadakan program mencari bakat-bakat muda di dalam bidang  olahraga yang  turut diketengahkan dan mendapat sambutan yang amat menggalakan dari pelajar-pelajar sekolah  dan penduduk setempat.
 
Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah melalui  Biro Belia, Sukan dan Latihan   yang diPengerusikan oleh  Saudara Haris bin Che Mat yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena bersama jawatankuasanya telah diamanahkan untuk menjayakan program tersebut. Beliau juga turut menyumbangkan jersi bolasepak kepada 3 Ketua Pemuda UMNO di felda Batu Talam dan juga sebiji bolasepak kepada setiap pasukan yang mendaftar.  
 
Program tersebut telah disempurnakan  oleh Encik Ali Bin Yahya selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Kedah dan turut dihadiri oleh Dato Ahmad Bashah Abu Hanafiah selaku Setiausaha Perhubungan  UMNO Negeri Kedah, Saudara Nasir selaku Timbalan Pengarah Pusat Sumber Negeri Kedah, Dato Rozai B. Safian selaku Speaker Undangan Negeri Kedah dan Dato Ismail Ketua UMNO Bahagian Baling.
 
- Berita dari Pesena dotCom

Khairul Nizat rela hidup miskin demi Umno
13-11-2006 05:36:49 PM

ALOR STAR:  Tiada siapa tahu, dalam kesibukannya membantu masyarakat dan juga partinya, rumah seorang Ketua Pemuda Umno cawangan di sini turut terpinggir daripada arus pembangunan tanpa bekalan air dan elektrik.

Khairul Nizat Bakar, 36, yang telah hampir 12 tahun memegang jawatan Ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Bukit, sanggup mengetepikan dirinya sendiri apabila diminta mencari atau membuat bancian penduduk yang layak untuk menerima bantuan.

"Saya sembunyikan kesempitan hidup saya dan setiap kali ada pihakpihak yang ingin menyalurkan sumbangan, saya turut ditugaskan untuk mencari penduduk tempatan yang layak," katanya dalam nada yang agak hiba.

Namun bagi Khairul Nizat, itulah pengorbanan yang harus diberikan kepada penduduk di kampungnya dengan mengabaikan dirinya sendiri, walaupun beliau berhak menerimanya melihatkan dari keadaan kehidupannya masa kini.

Selepas berkahwin dengan isterinya Nurlela Tahir, 26, mereka terus membina dan mendiami rumah yang ada sekarang dengan bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang menyediakan bahan binaan.

Selain tiada bekalan air, rumah tempat tinggal suami isteri itu bersama empat anak yang berusia antara dua dan enam tahun itu, juga tiada bekalan elektrik.

"Saya yang hanya mengambil upah menoreh getah, tidak mampu menyediakan wang sekaligus untuk bayaran kerja-kerja memasang paip dan pendawaian," katanya.

Terdapat lebih 100 keluarga yang tinggal di Kampung Bukit, tetapi semua rumah di kawasan itu sudahpun menikmati bekalan air paip dan tenaga elektrik.

"Sejak enam tahun lepas saya terpaksa mendapatkan bekalan air bersih dari rumah kakaknya yang terletak bersebelahan, manakala malam kami bertemankan pelita minyak tanah," katanya.

Mujurlah Pergerakan Pemuda Umno Negeri Kedah mendapat tahu akan kesempitan hidup anggotanya, lantas ketuanya Rawi Abdul Hamid bersama Ketua Pemuda Umno Pokok Sena, Haris Che Mata, pergi meninjau keadaan rumah Khairul Nizat.

Rawi dan Haris masing-masing menyumbangkan barangan makanan dan wang tunai untuk keluarga terbabit memasang bekalan air paip.

- petikan dari akhbar Utusan Malaysia

PEMUDA UMNO BIAYAI PERJALANAN KELUARGA KANAK-KANAK JANTUNG SONGSANG
Mohd Nazri Hassan

ALOR STAR, 26 Nov (Bernama) -- Sebelum ini tiada siapa peduli, setiap kali pemergian sepasang suami-isteri bersama anaknya yang malang ke Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Kadangkala rawatan yang diperlukan secara berkala itu tidak tertunai oleh mereka kerana kesempitan wang dan jika pergi pun dalam keadaan poket yang kosong.

Kali terakhir Abdul Majid Shafiee, 41, dan isterinya Natrah Ismail, 28, ke IJN untuk rawatan anak lelaki mereka Muhammad Azeim, 7, yang menderita penyakit "jantung songsang" sejak dilahirkan ialah pada 12 Oktober lepas.

Malam ini suami isteri terbabit bersama Muhammad Azeim dan dua lagi anak mereka akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke IJN, tetapi kali ini merasa lega dengan kesediaan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Pokok Sena membiayai kos perjalanan, makan dan tempat tinggal.

Penderitaan keluarga terbabit yang dibelanggu bebanan hutang lebih RM5,000 untuk kos rawatan mula mendapat perhatian setelah kisah Muhammad Azeim tersiar dalam akhbar 20 Oktober lepas.

Ketua Pemuda Umno bahagian Pokok Sena Haris Che Mat pantas bertindak dengan menubuhkan tabung untuk membiayai rawatan kanak-kanak itu dan setakat ini hanya mendapat perhatian daripada masyarakat setempat.

"Kita mengharapkan orang ramai dari seluruh negara terus menyalurkan sumbangan untuk meringankan bebanan keluarga terbabit dan seorang usahawan dari Singapura turut memberi jaminan akan membantunya," katanya.

Haris dan anggotanya sempat menziarahi keluarga terbabit sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur serta menyampaikan sumbangan cek dan tiket bas untuk perjalanan ke sana.

Muhammad Azeim, anak kedua kepada keluarga yang tinggal di Kampung Batu 13, Jalan Naka dekat sini, diibaratkan mempunyai peluang 50 peratus untuk pulih sepenuhnya akibat kompilasi penyakit jantung songsang itu.

Abdul Majid hanya mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan purata RM800 sebulan dan sejak dikesan mempunyai penyakit itu, kos rawatannya agak tinggi dan Muhammad Azeim dikehendaki mendapat rawatan setiap dua bulan sekali di IJN.

Pemergian mereka kali ini merupakan yang ketujuh untuk menerima rawatan di IJN selama tujuh tahun merana penyakit kronik yang jarang-jarang ditemui itu.

Daripada surat rawatan IJN, penyakit jantung songsang yang dialami anaknya dalam terma perubatan adalah "Dextrocardia", "Tricuspid Atresia" dan "Infundibular Pulmonary Stenosis" yang mana kedudukan hati berada di sebelah kanan berbanding orang normal yang hatinya terletak di bahagian kiri dada.

Akibat daripada itu injap jantung tidak berfungsi dengan baik untuk pengaliran dan penapisan darah dan turut mengalami kecacatan injap dan saluran darah untuk mengepam darah daripada hati ke jantung.

KANAK-KANAK PENGIDAP "JANTUNG SONGSANG" PERLUKAN RAWATAN SEMPURNA

ALOR STAR, 19 Okt (Bernama) -- Bagi sepasang suami-isteri dengan tiga anak, tiada lagi keghairahan dan keceriaan untuk persiapan menyambut Aidilfitri, kerana tumpuan mereka kini lebih kepada salah seorang anaknya yang menderita penyakit "jantung songsang" sejak dilahirkan lagi.

Muhammad Azeim, 7, anak kepada pasangan Abdul Majid Shafiee, 41, dan Natrah Ismail, 28, yang tinggal di Kampung Batu 13, Jalan Naka dekat sini, diibaratkan mempunyai peluang 50 peratus untuk pulih sepenuhnya akibat kompilasi penyakit jantung songsang itu.

Kata ibunya Natrah, lebih menyayat hati sejak dua tahun kebelakangan ini penyakit anaknya itu mula merebak ke bahagian otak sehingga terpaksa melakukan pembedahan tempurung kepala bagi membuang nanah dan kuman-kuman yang mula bersarang di bahagian kepala.

Beliau berkata, pembedahan baru-baru ini pada 12 Oktober lepas di Institut Jantung Negara (IJN) belum lagi memberi sinar harapan malah dibelanggu pula dengan bebanan hutang RM5,000 untuk kos rawatan.

"Kami tiada wang untuk membayarnya cuma ada RM500 sahaja dan itu saja bayaran yang mampu kami buat setakat ini," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Natrah berkata, suaminya hanya mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan purata RM800 sebulan dan sejak dikesan mempunyai penyakit itu, kos rawatannya agak tinggi dan Muhammad Azeim dikehendaki mendapat rawatan setiap dua bulan sekali di IJN.

Disebabkan kehimpitan hidup keluarganya, Muhammad Azeim hanya mampu ke IJN sebanyak enam kali sahaja untuk menerima rawatan selama tujuh tahun merana penyakit kronik yang jarang-jarang ditemui itu.

Daripada surat rawatan IJN yang ditunjukkan Natrah, penyakit jantung songsang yang dialami anaknya dalam terma perubatan adalah "Dextrocardia", "Tricuspid Atresia" dan "Infundibular Pulmonary Stenosis" yang mana kedudukan hati berada di sebelah kanan berbanding orang normal yang hatinya terletak di bahagian kiri dada.

Akibat daripada itu injap jantung tidak berfungsi dengan baik untuk pengaliran dan penapisan darah dan turut mengalami kecacatan injap dan saluran darah untuk mengepam darah daripada hati ke jantung.

"Mana kami nak cari wang untuk kos rawatan Muhammad Azeim, setiap kali ke IJN perlu ada sekurang-kurangnya RM5,000 untuk kos perjalanan, tempat tinggal dan perubatan dengan membawa kesemua anak-anak sekali," kata Natrah lagi.

Dua orang anak mereka lagi Noraini Husna, 9, dan Muhammad Haikal, 18 bulan, adalah normal sejak dilahirkan sehingga kini berbanding Muhammad Azeim yang mengalami kekejangan anggota badan dan kebiruan seluruh tubuh bila dilahirkan.

Beliau berkata, sebelum penyakitnya merebak ke bahagian otak anaknya itu sering kebas-kebas di bahagian sebelah kanan badan dan seringkali kekejangan otot.

"Saya reda dan berserah pada takdir walaupun sebelum pembedahan kepala dilakukan baru-baru ini doktor yang merawatnya berkata peluang untuk hidup adalah lima puluh, lima puluh," katanya.

Muhammad Azeim yang menuntut di Tahun Satu Sekolah Menengah Kampung Bukit terpaksa menerima rawatan di IJN sekali lagi pada 28 November akan datang dan mujurlah Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pokok Sena bersedia menaja kos rawatan dan perbelanjaan keluarga terbabit nanti.

Ketuanya, Haris Che Mat berkata pihaknya telahpun menubuhkan Tabung Adik Muhammad Azeim bagi membantu penderitaan yang dialami keluarga terbabit dan telah menyerahkan kutipan derma kilat di kalangan anggota pemuda bahagian itu sebanyak RM500 kepada mereka.

Sementara itu, hari ini Haris dan empat anggota pemudanya turut menziarahi kanak-kanak malang itu dengan menyerahkan sumbangan duit raya dan barangan makanan.

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan untuk tabung itu, boleh terus menghantarnya kepada Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pokok Sena, No 10, Tingkat 1 Rumah Kedai, Taman Bandar Baru, 06400 Pokok Sena, Kedah atau terus kepada Abdul Majid Shafiee, Batu 13 Jalan Naka, 06760 Pokok Sena, Kedah.

-- petikan dari akhbar Utusan Malaysia

TULIS BERITA  LIHAT BERITA

Tampilkan bakat anda dengan menulis berita mengenai tempatan dan kawasan anda untuk disiarkan dalam laman web ini.

© 2007 Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena. Hakcipta Terpelihara
 Rekabentuk & Aplikasi oleh Cobra Cobraeite deSign